Harapan Di Bulan Oktober 2017




Apa? Sudah bulan sepuluh…sekejapnya rasa, lagi dua bulan 2017 akan berakhir, itu pun kalau aku sempat bertemu ketahun hadapan. Itu semua urusan Tuhan, aku cuma berusaha, berdoa dan bertawakal.

Urusan ajal aku serahkan kepada yang empunya dunia ini. Aku cuma menumpang, ya, hidup cuma menumpang sementara. Segala-galanya ditentukan oleh Dia yang Maha Sempurna.

Dari satu bulan ke satu bulan, minggu ke minggu,  dari hari ke sehari, dari seminit ke seminit, dari saat ke saat…semua itu atas aturan-Nya.

Nikmat yang diberi tidak pernah terkurang, syukur pada-Mu ya Rabb! Siang berganti malam, malam berganti siang, masih begitu aturan-Nya.

Dia Yang Maha Berkuasa atas segala-galanya, begitu dengan diriku, masih diizinkan bertemu dengan bulan yang baru dalam tahu masehi dan Muharram dalam bulan Islam.

Masih diizinkan menghirup udara yang nyaman, sang mentari masih ku rasai kehangatannya, makan  minum masih ku nikmati, dapat lagi bermain dengan anak-anakku, berkasih sayang bersama isteriku, bertegur sapa dengan kawan-kawan sekerjaku dan diberi tenaga untuk mencari rezeki yang halal untuk keluargaku.

Banyak dan besarnya nikmat-MU ya Rabb!. Aku mahu oktober ini lebih baik dari September yang berlalu. Mudah-mudahan Allah SWT membimbing aku dalam menyelusuri kehidupanku untuk aku terus dalam cahaya taufik dan hidayah-Nya.

Bukan untuk diriku sahaja tetapi untuk isteriku, anak-anakku, kedua ibu bapaku dan saudara seislamku di mana jua mereka berada. Hanya hidup bergantung kepada-Nya sahaja, akan beroleh ketenangan dan kebahagian. Kerana semua kita akan kembali kepada-Nya, pasti suatu masa kita semua akan kembali menghadap Ilahi.

Tiada sesiapa pun yang terkecuali, pasti dan mesti. Aku sendiri khuatir akan nasib ku, apakah kesudahanku lebih baik atau sebaliknya. Amal ibadahku, amal solehku, ketaatanku apakah sudah mencukupi untuk aku menghuni surga idaman setiap hamba-hamba-Nya. Allah…Allah…Allah…

“Ya Allah bimbinglah aku, pimpinlah aku dalam mengenderai kehidupanku ini…maaf dan ampunilah kesalahan dan kesilapanku yang zahir mahu pun yang batin…Ya Rabb!”

Oktober ini, aku mahu lebih tenang, bahagia, tenteram dan harmoni. Kerja yang aku lakukan, biarlah kerana niat semat-mata untuk Mu, kasih sayangku untuk isteriku dan anak-anakku pun semata-mata kerana-Mu.

Kepada kedua ibu bapaku, biarlah aku terus akrab dan rajin-rajin menziarahinya, mendoakkan untuk keduanya setiap kali selesai solat lima waktu. Merekalah yang membesarkan aku, mendidik aku, menyekolahkan aku, sudah pastinya mereka juga sering mendoakan aku.

“Ya Allah, Engkau ampunkanlah dosa-dosa kedua ibu bapaku, berilah kesihatan, kebahagian dan ketenangan kepada kedua ibu bapaku. Engkau peliharalah mereka dari kemudaratan, berilah keselamatan keduanya…tetapkanlah mereka dalam cahaya Islam, iman dan taqwa kepada-Mu…Aamiin Ya Rabb!”

Ya, itulah harapanku di bulan oktober tahun masehi ini. Moga harapan dan impian ini akan didengari oleh Allah Yang Maha Mendengar. Begitulah kehidupan ini, perlukan tempat bergantungan, selain dari manusia.

Kita memerlukan Sang Pencipta atas segala-galanya. Oktober ini, aku mahu bersama Tuhan sentiasa. Aku serahkan segala-galanya hanya untuku-MU Ya Rabb!

Aamiin Ya Rabb!!!



Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi