Bukan Setakat Hobi



Semua orang ada hobi tersendiri. Mungkin ada yang suka mengumpul wang syiling atau wang kertas lama, ada yang suka memancing menguji kesabaran menunggu pancingan mengena, malah ada yang suka mengembara ke serata pelusuk negara bahkan ada juga yang suka mendaki bukit atau gunung, buat mencabar diri, menguji kekuatan fizikal dan mental.

Bahkan ada lagi bermacam-macam hobi yang boleh dilakuakan oleh kita bagi memenuhi masa terluang, masa santai dan yang lebih penting dari itu, apa yang dilakukan memberi manfaat dan kebaikan.

Aku yakin semua itu dilakukan bagi memenuhi kepuasan dan keseronokan diri sendiri. Aktiviti yang dilakukan tentunya dapat memberikan kegembiraan dan kebahagian dalam hidup mereka.

Hobi Membaca

Begitu aku, bermula dari hobi membaca, aku mahu membaca dijadikan konsep dalam kehidupanku bukan setakat hobi semata-mata.

Membaca sumber ilmu, membaca jambatan ilmu, membaca menghiburkan dan pelbagai lagi slogan yang menyuntik semangat dan ghairahku untuk membaca. Bermula dengan membeli, membaca dan terkumpulah sedikit demi sedikit buku yang dimiliki.

Sehinggalah impian ingin mempunyai bilik bacaan yang mengandungi buku-buku milik sendiri di dalamnya telah dapat aku realisasikan. Biar pun tidak besar tapi ia cukup membahagiakan aku. Ia sangat memberi semangat untuk membaca.

Contoh Untuk Anak-Anak

Seronok dan sangat menyeronokkan. Bermula dari diri sendiri agar menjadi contoh kepada anak-anak, agar mereka juga turut berminat dan terangsang untuk membaca.

Kalau bukan aku yang memulakan sebagai contoh untuk anak-anaku,siapa lagi?  Sebagai bapa dan sebagai pemimpin keluarga aku perlu memberi tauladan kepada mereka terutamanya dalam tabiat dan membudayakan membaca ini.

Hadiahkan Buku

Bagi memberi rangsangan dan menyuntik mereka agar suka kepada buku dan membaca, aku setiap bulan akan membawa mereka ke kedai buku, agar mereka rasa seronok melihat buku-buku.

Bukan itu sahaja, aku akan membelikan buku untuk mereka dan aku meminta mereka memilih bahan bacaan sesuai dengan tahap umur mereka. Tentunya ia sebagai hadiah yang cukup berharga dariku untuk mereka.

Tidak kesahlah apa pun yang mereka ingin beli dan baca, seperti komik, buku mewarna, dan majalah, sesuailah dengan jiwa mereka setakat hari ini. Agar jiwa mereka terdidik dari awal peri pentingnya ilmu buat mereka.

Dan, apa yang penting bagi aku, biar mereka terbuka fikiran, bahawa buku-buku atau majalah-majalah ini adalah bahan yang sangat penting dan berguna buat mereka.

Harapanku

Agar satu masa nanti mereka terus suka dan sayang dengan buku hingga ke akhir hayat mereka. Doaku buat mereka moga menjadi generasi iqra dan bertamadun. Dan penting dari itu, agar mereka berilmu dan bertaqwa hasil dari pembacaan mereka.


Aamiin Ya Rabb!!!

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi